Soalan Temuduga Penolong Pegawai Siasatan Gred P29 Dan Skrip Jawapan

Adakah anda mencari soalan temuduga Penolong Pegawai Siasatan Gred P29? Jika ya, ini merupakan artikel yang tepat untuk anda. Dalam artikel ini, saya akan kongsikan kepada anda cara menjawab soalan temuduga Penolong Pegawai Siasatan Gred P29 mengikut format terkini temuduga SPA pada tahun ini.

Sebelum itu, suka saya perkenalkan diri dahulu. Saya Cikgu Khairul, berpengalaman dalam membantu calon temuduga mendapatkan pekerjaan idaman mereka semenjak 2009 lagi. Pertama sekali, tahniah saya ucapkan kerana anda berjaya mendapat panggilan temuduga ini.

Jadi, soalan apakah yang selalu panel temuduga bertanya kepada calon temuduga Penolong Pegawai Siasatan Gred P29 ni? Secara asasnya, antara soalan yang popular ditanyakan ialah soalan berkaitan dengan diri sendiri, berkaitan dengan urus setia pencegahan rasuah, soalan kemahiran berfikir dan juga soalan psikologi.

Soalan Temuduga Perkenalkan Diri Penolong Pegawai Siasatan Gred P29

Dalam setiap sesi temuduga, soalan yang pertama dan paling popular panel temuduga tanyakan ialah soalan memperkenalkan diri. Soalan ini bukanlah bermaksud panel temuduga ingin tahu tentang diri anda sangat, sebab segala detail pasal diri anda sudah ada dalam resume. Tujuan soalan ini lebih kepada hendak melihat tahap keyakinan anda ketika bercakap.

Daripada cara anda bercakap pun panel temuduga dah boleh tahu tahu tahap keyakinan. Tambahan lagi, kebolehan berkomunikasi dengan efektif ini penting dalam memastikan segala urusan kerja dapat dilaksana dengan baik.

“Sila perkenalkan diri anda”, minta panel temuduga.

Di bawah ini merupakan skrip jawapan yang boleh anda gunakan untuk menjawab soalan ini.

Assalammualaikum dan selamat petang tuan. Saya Khairul bin Ismail berasal dari Temerloh, Pahang. Saya merupakan lepasan sijil kemahiran mekanikal dari TESDEC. Saya mempunyai pengalaman menjalani latihan industri di sebuah syarikat swasta yang menjalankan perkhidmatan membaik pulih kenderaan berat.

Banyak perkara saya belajar semasa latihan industri seperti pengurusan dokumen, penyediaan pelan-pelan tindakan kecemasan, dan juga kebolehan saya dalam berinteraksi dengan pelanggan-pelanggan.

Saya yakin, dengan gabungan akademik saya dan pengalaman yang ada, saya mampu untuk memikul tanggungjawab yang diberi sekiranya saya berjaya dilantik sebagai penolong pegawai siasatan nanti.

Ada juga calon bertanya kepada saya, “Cikgu! Macam saya, tak ada pengalaman industri, macam mana saya nak jawab soalan memperkenalkan diri ini?”, tanya calon temuduga tu kepada saya.

Walaupun anda tak ada pengalaman industri sekalipun, anda masih lagi boleh menggunakan pengalaman kerja part-time anda untuk menjawab soalan ini.

Contohnya, anda bekerja part-time sebagai grabfood. Anda boleh ceritakan bagaimana pengalaman menghantar makanan ini boleh membantu anda untuk menjalankan tugasan penolong pegawai siasatan. Di bawah ini contoh skrip jawapan yang boleh anda gunakan.

Saya tidak ada pengalaman kerja tetap sepanjang menunggu panggilan temuduga ini. Atas alasan tidak mahu mensia-siakan masa yang ada, saya telah bekerja secara part-time sebagai penghantar makanan grabfood.

Sepanjang saya menjalankan kerja-kerja menghantar makanan ini, pelbagai jenis perangai pelanggan yang saya jumpai dalam masyarakat. Saya percaya dengan pengalaman saya berinteraksi dengan pelanggan-pelanggan ini, dapat membantu saya dalam berinteraksi dengan masyarakat berbilang kaum nanti.

“Kalau saya tak ada pengalaman kerja langsung, kerja part-time pun tak pernah, macam mana pulak tu cikgu?”

Pengalaman kerja ini hanyalah ingin membuktikan keupayaan seseorang untuk mengendalikan tugas. Jika anda tidak ada langsung pengalaman kerja sekalipun, anda masih boleh menggunakan hobi anda. Cuba ceritakan bagaimana hobi anda ini boleh membantu anda menjalankan tugas jika terpilih dalam tugasan penolong pegawai siasatan nanti.

Hobi saya ialah membaca buku. Banyak ilmu yang berjaya saya peroleh daripada hasil bacaan saya. Buku yang menjadi kegemaran saya ialah buku tulisan Dato Fazilah Kamsah. Saya yakin dengan ilmu motivasi yang saya ada ini boleh membantu saya untuk memotivasikan diri sepanjang menjadi penolong pegawai siasatan.

Kerana saya tahu bekerja dalam jabatan pencegahan rasuah ini mempunyai pelbagai orang yang berbeza perangai dan idealisasi. Dan itu sangat penting bagi saya untuk mengekalkan momentum saya agar tak mudah berputus asa.

Soalan Temuduga Urus Setia Penolong Pegawai Siasatan Gred P29

Jika dibincangkan tentang soalan berkaitan dengan pencegahan rasuah, banyak aspek yang boleh panel temuduga bertanyakan kepada anda. Contohnya soalan berkaitan dengan aspek kementerian.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berada dalam kementerian apa?”, tanya panel temuduga.

Tujuan soalan ini ditanyakan adalah untuk mengetahui sejauh mana minat seorang calon itu terhadap jawatan yang dipohonnya itu. Jika anda tak mampu berikan jawapan yang memuaskan, panel temuduga akan memberikan impression yang buruk terhadap diri anda. Secara tak langsung akan memberitahu panel temuduga bahawa anda tidak serius berminat dengan jawatan penolong pegawai siasatan.

Di bawah ni merupakan skrip jawapan yang boleh anda gunakan untuk membalas pertanyaan itu.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak berada di bawah mana-mana kementerian. SPRM adalah satu badan bebas yang bertanggungjawab secara langsung kepada Parlimen Malaysia. Walaupun tidak di bawah mana-mana kementerian, SPRM terus bekerjasama dengan pelbagai institusi kerajaan dan sektor swasta untuk melakukan pencegahan dan tindakan terhadap tindakan di Malaysia.

“Senaraikan skop tugas penolong pegawai siasatan”, tanya panel temuduga.

Sebagai penolong pegawai siasatan, tugas am yang perlu saya laksanakan ialah membantu pegawai siasatan dalam menjalankan tugas menyiasat kes rasuah di Malaysia. Antara skop tugasan perlu saya laksanakan ialah membantu pegawai siasatan dalam menyiasat kes rasuah, termasuk mengumpulkan bukti dan maklumat yang relevan.

Selain daripada itu, saya juga perlu menjalankan penyiasatan awal laporan atau aduan yang diterima oleh SPRM untuk menentukan sama ada kes itu memerlukan siasatan lanjut. Selain itu, saya perlu menyediakan aset dan dokumen yang berkaitan dalam fokus kes rasuah. Saya juga perlu memberi nasihat dan bimbingan kepada orang ramai mengenai pencegahan tindakan Rasuah dan kepentingan integriti dalam kehidupan seharian. Akhir sekali ialah saya perlu menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diberikan oleh atasan SPRM yang lain.

“Apa yang ada pada logo SPRM?”, tanya panel temuduga.

Daripada pemerhatian saya, ada beberapa elemen utama yang cuba diterapkan dalam logo SPRM. Antara elemen ini ialah bintang, bulan sabit, keris bersilang, perisai, bunga padi dan dua ekor harimau.

Bulan sabit menggambarkan agama islam sebagai agama rasmi negara ini.

Keris bersilang pula menggambarkan kuasa yang dimiliki oleh SPRM dalam melaksanakan tugas pencegahan jenayah rasuah.

Perisai pula menggambarkan alat mempertahankan diri dalam merahsiakan identiti pemberi maklumat.

Bunga padi pula menggambarkan kemajuan, kemakmuran dan kejayaan dalam masyarakat yang sepenuhnya bermoral dan beretika.

Dua ekor harimau pula menggambarkan keberanian dan kekuatan dalam melaksanakan tugas walaupun perlu berhadapan dengan seribu rintangan.

Tiga warna dalam logo SPRM ialah emas, kuning, biru, hitam, kelabu gelap, merah dan putih. Warna emas melambangkan perjuangan yang berharga. Warna kuning melambangkan keadilan. Warna biru melambangkan amanah dan keharmonian. Warna hitam melambangkan kemantapan semangat. Warna kelabu gelap melambangkan kebebasan dan ketelusan. Warna merah melambangkan semangat perjuangan dan warna putih melambangkan jiwa yang bersih dalam menegakkan kebenaran.

Selain daripada soalan-soalan di atas, panel temuduga juga mungkin akan bertanya tentang soalan di bawah ini:

  • Sebutkan moto SPRM dan apakah warna rasmi bagi SPRM?
  • Siapa pengarah SPRM?
  • Terangkan misi dan visi SPRM yang anda tahu.

Soalan Temuduga Kemahiran Berfikir Penolong Pegawai Siasatan Gred P29

Selain daripada soalan-soalan berkaitan dengan jabatan, panel temuduga juga akan bertanyakan soalan berkaitan dengan kemahiran berfikir secara kritikal.

“Bagaimana sesuatu pemberian itu dianggap sebagai rasuah? Bagaimana nak bezakan rasuah dengan hadiah?”, tanya panel temuduga.

Pada pemahaman saya, hadiah dan rasuah adalah dua perkara yang berbeza. Walaupun pada dasarnya kedua-duanya melibatkan pemberian atau menerima sesuatu dengan tujuan tertentu.

Perbezaan paling ketara antara hadiah dan rasuah adalah tujuan ianya diberikan. Hadiah diberikan sebagai ungkapan rasa syukur atau penghargaan untuk perkhidmatan atau pencapaian yang telah dilakukan. Rasuah pula diberikan untuk mempengaruhi seseorang untuk melakukan sesuatu yang tidak boleh dilakukan.

Selain itu, hadiah dan rasuah juga boleh dibezakan melalui masa dan tempat pemberian. Hadiah diberikan pada masa atau tempat yang tepat dan selaras dengan tabiat atau norma yang dikenakan. Rasuah pula diberikan secara rahsia dan tidak sesuai dengan norma atau peraturan yang terpakai.

Akhir sekali perbezaan daripada kesahihan penerimaan. Penerima hadiah biasanya tidak melanggar aturan atau norma yang berlaku dengan menerimanya. Sedangkan penerima rasuah melanggar hukum dan etika dengan menerima suatu imbalan untuk melakukan sesuatu yang salah.

“Apa yang awak faham dengan suapan rasuah? Adakah suapan ini hanya dalam bentuk wang ringgit sahaja?”, tanya panel temuduga.

Suapan rasuah adalah suatu tindakan menawarkan sesuatu yang berharga kepada seseorang dengan mengharapkan balasan. Berdasarkan kepada kefahaman saya, suapan rasuah boleh jadi dalam bentuk wang tunai, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan (seperti seks), jawatan, upah, diskaun, pinjaman dan sebagainya.

“Pada pendapat awak, kenapa penjawat awam mengambil rasuah? Adakah disebabkan gaji terlalu sikit menyebabkan mereka menerima rasuah?”, tanya panel temuduga.

Anda boleh gunakan skrip di bawah untuk menjawab pertanyaan ini.

Saya kurang bersetuju dengan pernyataan itu. Melalui pembacaan saya tentang kajian aktiviti rasuah dikalangan penjawat awam, tangga gaji bukanlah punca utama aktiviti rasuah ini berlaku.

Antara punca utama penjawat awam ini terlibat dengan rasuah ialah kerana mereka mempunyai gaya hidup di luar kemampuan, bersikap tamak dan haloba.

Apabila wujudnya ruang dan peluang untuk melakukan perbuatan rasuah, integriti mereka pula ditahap yang rendah, di situlah punca berlakunya gejala rasuah ini. Bukannya berpunca pada sikit atau banyak gaji semata-mata.

Selain daripada soalan-soalan di atas, panel temuduga juga mungkin akan bertanya tentang soalan di bawah ini:

  • Apa pandangan anda tentang isu rasuah yang berlaku baru-baru ini?
  • Apa pendapat awak tentang peranan masyarakat dalam membasmi rasuah?
  • Apa sikap yang ada dalam diri anda untuk memegang jawatan penolong pegawai siasatan?

Soalan Temuduga Pengujian Psikologi Penolong Pegawai Siasatan Gred P29

Selain daripada soalan berkaitan dengan hal pencegahan rasuah, panel temuduga juga akan bertanyakan soalan tentang psikologi. Mereka bertanya soalan seperti ini untuk menguji sejauh mana kesanggupan dan kesediaan anda daripada segi mentaliti untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang penolong pegawai siasatan.

“Mengapa awak nak mohon jawatan penolong pegawai siasatan sedangkan ada banyak lagi jawatan yang lain?”, tanya panel temuduga.

Saya berminat dengan jawatan penolong pegawai siasatan kerana saya percaya bahawa kerja ini adalah satu cara yang berkesan untuk melawan aktiviti rasuah dan memberi sumbangan positif kepada masyarakat.

Sebagai penolong pegawai siasatan, saya akan berpeluang untuk belajar dan memahami lebih lanjut mengenai bagaimana tindakan rasuah dijalankan, serta bagaimana untuk mencegah dan membasmi. Disamping itu, saya juga boleh mengamalkan pengetahuan dan kemahiran saya dalam menyiasat kes-kes rasuah dan memberi cadangan kepada hasil siasatan.

Saya percaya bahawa bekerja sebagai penolong pegawai siasatan akan memberi saya pengalaman yang sangat berharga dan membantu saya untuk mengembangkan kemahiran yang diperlukan dalam karier saya pada masa akan datang. Disamping itu, saya merasakan bahawa kerja ini mempunyai misi mulia untuk membasmi tindakan rasuah di negara kita dan saya ingin menjadi sebahagian daripada usaha ini.

Selain daripada soalan ini, panel temuduga juga selalu bertanya tentang soalan psikologi lain seperti di bawah ini:

  • Calon sebelum awak tadi saya nampak ada potensi untuk menjadi penolong pegawai siasatan. Seeloknya awak teruskan dengan kerja awak sekarang. Cuba awak terangkan keistimewaan awak berbanding calon-calon yang lain.
  • Tugas penolong pegawai siasatan ni kena berdepan dengan stress. Awak mampu ke kerja dalam stress? Lagipun gaji sebagai penolong pegawai siasatan ni tak banyak mana pun.
  • Awak sanggup ke ditempatkan ke Sabah dan Sawarak? (Sekiranya temuduga dijalankan di semenanjung) Atau, awak sanggup ke ditempatkan ke semenanjung? (Sekiranya temuduga dijalankan di Sabah dan Sarawak). Keluarga awak izinkan ke kalau awak bertugas di sana? Pihak kami dimaklumkan terdapat banyak kekosongan di sana.

Rekomendasi Dari Cikgu

Semua soalan di atas yang saya kongsikan ini merupakan soalan yang mungkin ditanya dalam sesi temuduga Penolong Pegawai Siasatan Gred P29.

Anda nak tak baca lagi soalan-soalan yang berkemungkinan tinggi ditanya dalam temuduga ini? Sila klik butang di bawah ini untuk baca.

Penutup

Saya harap dengan perkongsian tentang soalan temuduga Penolong Pegawai Siasatan Gred P29 ini dapat membantu anda dalam membuat persediaan temuduga nanti. Saya doakan anda tenang dan yakin dalam menghadiri sesi temuduga ini nanti. Aamiinn..

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *