Cara Perkenalkan Diri Semasa Temuduga Kerja

cara perkenalkan diri semasa temuduga
oleh Cikgu Khairul

Soalan cara perkenalkan diri semasa temuduga merupakan antara soalan popular ditanyakan ketika sesi temuduga. Jika panel temuduga bertanya, “Sila perkenalkan diri awak”, apakah agaknya anda nak jawab?

Sebenarnya, bukanlah panel temuduga itu nak tahu sangat pasal diri anda. Ini disebabkan butiran lengkap tentang diri anda sudah pun ada dalam resume. 

Kenapa panel temuduga masih nak tanya sedangkan semua dah ada dalam resume? Anda dapat teka tak sebab tu?

Apa ‘trick’ disebalik soalan perkenalkan diri semasa temuduga ini? Kalau anda nak tahu, panel temuduga sebenarnya nak tahu tahap keyakinan anda ketika bercakap. 

Cara bercakap merupakan first impression kepada panel temuduga terhadap diri anda.

Ada sesetengah calon sanggup menghafal skrip jawapan untuk soalan ini. Kesannya, cara lontaran suara mereka akan menjadi tidak bersahaja. Seolah-olah sedang menghafal sesuatu. 

Daripada mimik muka dan gerak anak mata pun panel temuduga boleh tahu sama ada anda gugup ataupun tidak.

Ketika inilah first impression daripada panel temuduga kepada diri anda. Seeloknya, first impression inilah yang perlu anda jaga. Apabila anda gagal soalan seperti ini, ianya akan memberikan tanggapan buruk daripada panel temuduga.

Format Cara Memperkenalkan Diri Semasa Temuduga

Apa yang sepatutnya anda ceritakan kepada panel temuduga apabila soalan memperkenalkan diri ini diajukan kepada anda? Di bawah ini saya kongsikan senarai perkara yang perlu anda masukkan dalam jawapan anda.

1. Ucap selamat pagi atau petang.
2. Perkenalkan nama dan berasal dari mana.
3. Ceritakan tentang kelulusan dalam bidang mana.
4. Ceritakan status pendidikan. Adakah sudah bergradusi atau masih menunggu graduasi.
5. Ceritakan tentang pengalaman kerja. Jika tiada, anda boleh berceritakan tentang pengalaman membuat latihan industri.
6. Ceritakan tentang kebolehan anda. Kebolehan itu perlulah berkaitan dengan jawatan yang dipohon.

Kalau anda tak ada pengalaman kerja pula macam mana? Apa yang nak diceritakan masa sesi temuduga nanti?

Walaupun anda tak ada pengalaman kerja, anda masih boleh bercerita pasal pengalaman menjalani latihan industri. 

Andaikata pengalaman industri pun anda tak ada, anda juga boleh bercerita pasal hobi anda. Sila pastikan anda boleh mengaitkan hobi anda dengan jawatan yang dipohon.

Skrip Penuh Jawapan Cara Perkenalkan Diri Semasa Temuduga

Di bawah ini pula merupakan contoh skrip cara perkenalkan diri semasa temuduga yang boleh anda praktiskan. Untuk skrip jawapan ini, saya menggunakan jawatan penolong jurutera sebagai contoh. Anda boleh ubah skrip jawapan mengikut kesesuaian jawatan yang anda mohon.

Situasi: Ahmad dipanggil untuk menghadiri sesi temuduga satu jawatan penolong jurutera di salah sebuah syarikat di Puchong. Syarikat ini menjalankan perkhidmatan membina mesin untuk kegunaan kegunaan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

Skrip jawapan:

Assalammualaikum dan selamat petang tuan. Saya Ahmad bin Ismail berasal dari Marang, Terengganu.

Saya merupakan lepasan baru sarjana muda dalam Kejuruteraan Reka Bentuk dari Universiti Malaysia Pahang.

Saya mempunyai pengalaman menjalani latihan industri di sebuah syarikat swasta yang menjalankan servis merekabentuk jentera industri.

Antara projek yang pernah saya uruskan sepanjang berkhidmat di sana ialah merekabentuk sebuah mesin pembungkusan robotik menggunakan perisian Solidworks dan Adams Machinery.

Dari latihan industri itu, saya juga menimba pengalaman dalam menjalankan kerja, berurusan dengan orang ramai, mengurus data dan sebagainya.

Saya yakin, dengan gabungan akademik saya dan pengalaman yang ada, saya mampu untuk memikul tanggungjawab yang diberi sekiranya saya diberikan peluang untuk menjawat jawatan penolong jurutera ini.

Ada juga calon bertanya kepada saya, “Macam saya, tak ada pengalaman industri, macam mana saya nak jawab soalan memperkenalkan diri ini?”, tanya calon temuduga tu kepada saya.

Walaupun anda tak ada pengalaman industri sekalipun, anda masih lagi boleh menggunakan pengalaman kerja part-time anda untuk menjawab soalan ini.

Contohnya, anda bekerja part-time sebagai grabfood. Anda boleh ceritakan bagaimana pengalaman menghantar makanan ini boleh membantu anda untuk menjalankan tugas sebagai penolong jurutera. 

Di bawah ini contoh skrip jawapan yang boleh anda gunakan.

Skrip jawapan:

Saya tidak ada pengalaman kerja tetap sepanjang menunggu panggilan temuduga ini. Atas alasan tidak mahu mensia-siakan masa yang ada, saya telah bekerja secara part-time sebagai penghantar makanan grabfood.

Sepanjang saya menjalankan kerja-kerja menghantar makanan ini, pelbagai jenis perangai pelanggan yang saya jumpai. Saya yakin dengan pengalaman saya berinteraksi dengan pelanggan-pelanggan ini, dapat membantu saya untuk mengendalikan perlaksanaan projek terutama melibatkan kerja-kerja perundingan dan penyediaan sebut harga dan tender.

💡Tips: Salah satu tugas penolong jurutera ialah menjadi perundingan dan penyelia sebut harga dan tender. Jika anda mampu kaitkan skop kerja dengan kerja part-time, itu cukup membuktikan anda benar-benar tahu dan bersedia untuk menjawat jawatan itu.

“Kalau saya tak ada pengalaman kerja langsung, kerja part-time pun tak pernah, macam mana pulak tu?”

Pengalaman kerja ini hanyalah ingin membuktikan adakah anda ini boleh bergaul dengan masyarakat sahaja. Jika anda tidak ada langsung pengalaman kerja sekalipun, anda masih boleh menggunakan hobi anda. 

Cuba ceritakan bagaimana hobi anda ini boleh membantu anda menjalankan tugas jika dilantik sebagai penolong jurutera nanti.

Skrip jawapan:

Hobi saya ialah membaca buku. Banyak ilmu yang berjaya saya peroleh daripada hasil bacaan saya. Buku yang menjadi kegemaran saya ialah buku tulisan Dato Fazilah Kamsah. Saya yakin dengan ilmu motivasi yang saya ada ini boleh membantu saya untuk memotivasikan diri sepanjang menjadi penolong jurutera.

Kerana saya tahu tanggungjawab seorang penolong jurutera ini tidaklah semudah yang disangka. Dan itu sangat penting bagi saya untuk mengekalkan motivasi ditahap optimum agar tak mudah berputus asa.

💡Tips: Untuk makluman anda, skop kerja seorang penolong jurutera ini banyak. Antaranya ialah menyedia dan menyemak lukisan kejuruteraan, merekod inventori, mengawas tapak projek, menyelia pelaksanaan kerja pengawasan pembinaan di tapak projek, menyediakan laporan kemajuan projek.

Jadi, menjadi satu keperluan kepada penjawatnya untuk selalu memotivasikan diri. Tunjukkan kepada panel temuduga bahawa anda tahu semua skop tugas ini. 

Jika anda boleh tunjukkan perkara ini, anda akan kelihatan berbeza di mata panel temuduga berbanding calon-calon yang lain.

Anda Belajar Sesuatu?

Soalan memperkenalkan diri ini bukanlah satu-satunya soalan popular ditanya semasa sesi temuduga. Antara soalan yang sering ditanya ialah:

1. Apakah matlamat jangka masa pendek anda?
2. Apakah persediaan yang anda buat untuk temuduga ini?
3. Mengapa saya perlu pilih awak berbanding calon yang lain?
4. Apakah kelebihan dan kelemahan diri awak?

Nak Extra Tips Temuduga?

Apa yang saya kongsikan ini hanya satu peratus daripada tips temuduga. Jika anda mahukan lagi extra soalan dan jawapan, boleh klik butang di bawah ini untuk baca.

Penutup

Saya harap dengan perkongsian cara perkenalkan diri semasa temuduga dapat membantu sedikit sebanyak dalam persediaan temuduga anda.

Pss.. Sekiranya ada apa-apa persoalan, sila tinggalkan pertanyaan anda di bahagian komen di bawah. 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *