Apakah Kekuatan Anda? Soalan Temuduga Paling Popular Ditanya.

Apakah kekuatan anda? – Saya pasti, soalan ini merupakan soalan yang popular panel temuduga tanyakan kepada calon temuduga.

Anda tahu tak apa sebenarnya yang cuba dicungkil daripada diri seorang calon melalui soalan ini? Jom baca perkongsian ini.

Sebagai seorang calon temuduga, anda seharusnya tahu apakah tujuan utama soalan ini ditanyakan kepada anda. Untuk soalan ini, terdapat dua sebab utama kenapa panel temuduga sangat gemar bertanyakan soalan ini.

Sebab utama ialah panel temuduga ingin mengetahui apakah kebolehan anda yang sebenar dan anda mengakui kebolehan itu wujud dalam diri anda.

Sebab yang kedua pula ialah panel temuduga ingin tahu adakah kekuatan anda itu mampu membantu anda dalam menjalankan tugas ataupun tidak.

Untuk menjawab soalan temuduga ‘apakah kekuatan anda’ ini, anda tak boleh memasukkan elemen klise dalam jawapan anda. Di bawah ini merupakan contoh jawapan klise yang kerap digunakan oleh calon temuduga:

“Saya suka bekerja dalam situasi yang mencabar supaya saya tahu potensi diri saya. Lagi banyak cabaran lagi banyak perkara baharu yang boleh saya pelajari.

Saya suka akan cabaran kerana cabaran ini lah yang dapat menentukan kemampuan saya dalam melaksanakan tugas”.

Hebat kan jawapan ini? Tapi percayalah, anda bakal gagal sesi temuduga kali ini jika anda memberikan jawapan klise seperti ini.
Nak tahu tak kenapa boleh gagal? Saya terangkan secara terperinci dekat bawah ini.

Artikel berkaitan: Cara Memperkenalkan Diri Dalam Temuduga

Bagaimana nak jawab soalan temuduga “apakah kekuatan awak” ini? Untuk contoh ini, saya akan gunakan kelancaran bertutur dalam bahasa inggeris sebagai contoh kekuatan untuk memudahkan pemahaman anda.

3 Perkara Penting

Antara perkara yang perlu anda titikberatkan dalam menjawab soalan seperti ini ialah:

  • Berikan satu kekuatan anda.
  • Cuba kaitkan bagaimana kekuatan anda itu boleh membantu anda dalam tugasan anda.
  • Tunjukkan bukti untuk menyokong pengakuan anda itu.

Di bawah ini merupakan skrip jawapan untuk menjawab soalan apakah kekuatan anda.

Saya mempunyai kelebihan dalam berbahasa inggeris dengan lancar. Saya pernah menyertai pertandingan debat berbahasa inggeris dan berjaya mendapat tempat naib johan daripada 10 kumpulan dalam pertandingan debat itu.

Saya tahu, untuk menjadi kakitangan kerajaan memerlukan saya berkomunikasi secara baik dengan masyarakat berbilang bangsa.

Dan saya yakin, dengan penguasaan bahasa inggeris ini akan membantu saya menjalankan tugas secara efektif sekiranya saya dilantik kelak untuk menjawat jawatan ini.

Saya sertakan sekali sijil penyertaan pertandingan debat itu sebagai rujukan tuan.

Dalam menjadi kakitangan kerajaan, anda perlu pandai bergaul dengan semua golongan masyarakat yang berbilang bangsa, terutama sekali jika jawatan itu memerlukan anda bergaul secara langsung dengan masyarakat.

Jika anda mampu mengaitkan bagaimana kekuatan berbahasa inggeris ini dengan skop tugasan sesuatu jawatan, itu cukup membuktikan anda tahu tentang tugas jawatan dan bersedia untuk memikul tanggungjawab.

Anda juga boleh meminta izin panel temuduga untuk bercakap dalam bahasa inggeris sebagai menguatkan lagi hujah anda itu.

Saya harap dengan skrip jawapan apakah kekuatan anda ini boleh membantu anda dalam temuduga anda nanti.

Tahu tak kenapa jawapan klise di atas tu boleh menggagalkan? Sebabnya ialah tiada pembuktian diberikan untuk membuktikan calon itu suka akan cabaran.

Belajar Sesuatu?

Adakah anda belajar sesuatu daripada perkongsian saya ini? Anda tahu tak kenapa ramai calon digagalkan dalam sesi temuduga? Sila klik butang di bawah untuk baca.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *