Apakah Kelemahan Anda? Soalan Temuduga Paling Popular Ditanya.

Apakah kelemahan anda? – Ramai calon temuduga salah faham dengan soalan ni. Panel temuduga bertanyakan soalan ini kerana ingin menguji sejauh mana kejujuran dalam diri seseorang calon.

Ada sesetengah calon menganggap, jika ceritakan kelemahan diri, itu akan menjadi faktor kepada kegagalan. Betul ke macam tu?

Antara jawapan klise yang selalu panel temuduga terima ialah..

“Kelemahan saya ialah saya rasa tidak senang duduk selagi mana tugasan tidak disiapkan. Apabila semua tugasan disiapkan, barulah saya rasa diri ini tenang”.

Ataupun..

“Kelemahan saya ialah saya tak boleh tengok orang lain buat kerja secara bersendirian. Akan timbul rasa nak menolong membuak-buak dalam diri saya”.

Cuba anda letakkan diri anda pada tempat panel temuduga, apa reaksi anda apabila mendengar jawapan klise macam ini?

Rasa macam calon cuba memandang rendah kepada anda kan? Seolah-olah mereka anggap anda ini tak tahu membezakan antara kelemahan dengan kekuatan.

Ramai calon berfikir, dengan jawapan macam ini dapat menunjukkan mereka ada sikap suka berkerja. Dengan harapan, panel temuduga akan menganggap mereka ini rajin.

Tetapi panel temuduga tak anggap macam tu. Jawapan macam ini sebenarnya dah basi disebabkan terlalu ramai calon yang dah gunakan jawapan klise macam ni.

Berfikir Secara Logik

Kalau ikut kepada logik sekalipun, mana ada kelemahan seseorang itu bersifat positif. Kelemahan tetap kelemahan, dan kelemahan itu perlu bersifat negatif.

Sebab itulah panel temuduga menganggap jawapan klise seperti ini menunjukkan seseorang calon itu tidak jujur ketika menjawab soalan.

Apa yang perlu anda lakukan ialah berlaku jujur ketika memberikan jawapan. Panel temuduga juga manusia, dan mereka tahu tak wujud pun manusia yang sempurna ni. Mereka sendiri pun ada kelemahan mereka masing-masing.

Tiga Elemen Utama

Jadi, apa jawapan yang terbaik dalam menjawab soalan kelemahan diri ini? Saya cadangkan anda memasukkan tiga perkara di bawah ini ketika menjawab soalan.

  1. Berikan satu kelemahan yang ada dalam diri anda.
  2. Apakah usaha anda untuk menangani kelemahan itu.
  3. Apakah harapan anda dengan usaha anda itu.

Untuk contoh kali ini, saya gunakan tidak lancar berbahasa inggeris sebagai contoh kelemahan.

Kelemahan terbesar dalam diri saya yang saya sedari ialah saya tidak lancar dalam berbahasa inggeris. Saya tahu, penting seseorang kakitangan kerajaan untuk menguasai bahasa inggeris kerana dapat memudahkan urusan.

Atas kesedaran itu, saya telah mengambil beberapa kelas bahasa inggeris dalam menambahbaik diri saya dalam bertutur dalam bahasa inggeris.

Saya harap, dengan usaha saya ini dapat memberikan penambahbaikan kepada saya bertutur dengan lancar dalam bahasa inggeris ini.

Bagaimana pula dengan jawapan ini? Anda dengar pun macam logik kan? Sebab jawapan itu jelas menunjukkan kelemahan diri yang sebenar.

Panel temuduga tidak melihat kepada kelemahan anda, tapi mereka melihat kepada apa usaha yang anda lakukan untuk mengatasi kelemahan itu.

Apa yang mereka mahukan ialah jawapan yang jujur daripada anda. Kadang-kadang, jawapan klise anda sendiri itulah yang menjerat anda untuk gagal temuduga.

Panel temuduga sudah banyak pengalaman dalam menemuduga calon, berbagai jenis jawapan klise dah mereka dengar. Cuba anda jadi diri anda sendiri. Daripada situ lah jawapan yang jujur dari diri anda akan terserlah.

Nak Uji Cara Menyelesaikan Masalah

Kalau anda perasan, soalan “apakah kelemahan anda” ini bersifat menyelesaikan masalah. Disebalik soalan ini, panel temuduga nak tahu bagaimana anda berdepan dengan masalah.

Sama ada anda buat sesuatu untuk menyelesaikan masalah itu. Ataupun anda tak buat apa-apa, dengan harapan masalah itu akan selesai dengan sendirinya.

Jika anda mampu memberikan jawapan yang baik dengan memasukkan tiga perkara di atas ini, peluang anda untuk lulus temuduga semakin cerah.

Adakah anda belajar sesuatu daripada perkongsian saya ini?

Anda dah baca perkongsian daripada Puan Jud Jamil, iaitu Ketua Unit Sumber Manusia di salah satu jabatan kerajaan?

Beliau ada kongsikan pengalaman beliau sendiri, punca kenapa ramai calon gagal temuduga. Sila klik butang di bawah untuk baca.

1 thought on “Apakah Kelemahan Anda? Soalan Temuduga Paling Popular Ditanya.”

  1. Nurul Hidayah Binti Majid

    Terima kasih atas perkongsian ni. Boleh menjadi inspirasi untuk rujukan ketika ini

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *