Soalan Temuduga Pembantu Tadbir (Kewangan) Gred W19 Dan Skrip Jawapan

Adakah anda mencari soalan temuduga Pembantu Tadbir (Kewangan) Gred W19? Jika ya, ini merupakan artikel yang tepat untuk anda.

Dalam artikel ini, saya akan kongsikan kepada anda cara menjawab soalan temuduga Pembantu Tadbir (Kewangan) Gred W19 mengikut format terkini temuduga SPA pada tahun ini.

Sebelum itu, suka saya perkenalkan diri dahulu. Saya Cikgu Khairul, berpengalaman dalam membantu calon temuduga mendapatkan pekerjaan idaman mereka semenjak 2009 lagi. Pertama sekali, tahniah saya ucapkan kerana anda berjaya mendapat panggilan temuduga ini.

Jadi, soalan apakah yang selalu panel temuduga bertanya kepada calon temuduga Pembantu Tadbir (Kewangan) Gred W19 ni?

Secara asasnya, antara soalan yang popular ditanyakan ialah soalan berkaitan dengan diri sendiri, berkaitan dengan urus setia kewangan dan juga soalan psikologi.

Soalan Temuduga Perkenalan Pembantu Tadbir (Kewangan) Gred W19

Dalam setiap sesi temuduga, soalan yang paling kerap panel temuduga tanyakan ialah soalan memperkenalkan diri.

Soalan ini bukanlah bermaksud panel temuduga ingin tahu tentang diri anda sangat, tapi lebih kepada hendak melihat cara anda bercakap.

Daripada cakap anda bercakap ini pun panel temuduga dah boleh tahu tahu tahap keyakinan anda berdepan dengan orang lain.

Tambahan lagi, kebolehan berkomunikasi dengan efektif ini penting dalam menjawat jawatan pembantu tadbir di mana ianya memerlukan anda berinteraksi dengan masyarakat yang mempunyai berbilang kaum dan umur.

“Sila perkenalkan diri anda”, minta panel temuduga.

Di bawah ini merupakan skrip jawapan yang boleh anda gunakan untuk menjawab soalan ini.

Assalammualaikum dan selamat petang tuan. Saya Khairul bin Ismail berasal dari Temerloh, Pahang. Saya merupakan lepasan sijil tahap 3 Penyeliaan Pengurusan Pejabat dari Kolej Cosmopoint.

Saya mempunyai pengalaman menjalani latihan industri di sebuah syarikat swasta yang menjalankan perkhidmatan membaik pulih kenderaan berat.

Banyak perkara saya belajar semasa latihan industri seperti pengurusan dokumen, penyediaan pelan-pelan tindakan kecemasan, dan juga kebolehan saya dalam berinteraksi dengan pelanggan-pelanggan.

Saya yakin, dengan gabungan akademik saya dan pengalaman yang ada, saya mampu untuk memikul tanggungjawab yang diberi sekiranya saya berjaya mendapatkan kerja Pembantu Tadbir (Kewangan) Gred W19 ini.

Ada juga calon bertanya kepada saya, “Cikgu! Macam saya, tak ada pengalaman industri, macam mana saya nak jawab soalan memperkenalkan diri ini?”, tanya calon temuduga tu kepada saya.

Walaupun anda tak ada pengalaman industri sekalipun, anda masih lagi boleh menggunakan pengalaman kerja part-time anda untuk menjawab soalan ini.

Contohnya, anda bekerja part-time sebagai grabfood. Anda boleh ceritakan bagaimana pengalaman menghantar makanan ini boleh membantu anda untuk menjalankan tugas sebagai pembantu tadbir.

Di bawah ini contoh skrip jawapan yang boleh anda gunakan.

Saya tidak ada pengalaman kerja tetap sepanjang menunggu panggilan temuduga ini. Atas alasan tidak mahu mensia-siakan masa yang ada, saya telah bekerja secara part-time sebagai penghantar makanan grabfood.

Sepanjang saya menjalankan kerja-kerja menghantar makanan ini, pelbagai jenis perangai pelanggan yang saya jumpai dalam masyarakat.

Saya percaya dengan pengalaman saya berinteraksi dengan pelanggan-pelanggan ini, dapat membantu saya dalam berinteraksi dengan masyarakat berbilang kaum nanti.

“Kalau saya tak ada pengalaman kerja langsung, kerja part-time pun tak pernah, macam mana pulak tu cikgu?”

Pengalaman kerja ini hanyalah ingin membuktikan adakah anda ini boleh menjalankan tugas dengan baik sahaja. Jika anda tidak ada langsung pengalaman kerja sekalipun, anda masih boleh menggunakan hobi anda.

Cuba ceritakan bagaimana hobi anda ini boleh membantu anda menjalankan tugas jika dilantik sebagai pembantu tadbir nanti.

Hobi saya ialah membaca buku. Banyak ilmu yang berjaya saya peroleh daripada hasil bacaan saya. Buku yang menjadi kegemaran saya ialah buku tulisan Dato Fazilah Kamsah.

Saya yakin dengan ilmu motivasi yang saya ada ini boleh membantu saya untuk memotivasikan diri sepanjang menjadi pembantu tadbir.

Kerana saya tahu dalam masyarakat ini mempunyai pelbagai orang yang berbeza perangai dan idealisasi. Dan itu sangat penting bagi saya untuk mengekalkan momentum saya agar tak mudah berputus asa.

Soalan Temuduga Urus Setia Pembantu Tadbir (Kewangan) Gred W19

Jika dibincangkan tentang soalan berkaitan dengan pembantu tadbir kewangan, banyak aspek yang boleh panel temuduga bertanyakan kepada anda. Contohnya soalan berkaitan dengan aspek jabatan.

“Apa fungsi Kementerian Kewangan Malaysia?”, tanya panel temuduga.

Tujuan soalan ini ditanyakan adalah untuk mengetahui sejauh mana minat seorang calon itu terhadap jawatan yang dipohonnya itu.

Jika anda mampu menjawab dengan baik, itu cukup memberi signal kepada panel temuduga bahawa anda ini sudah cukup mengenali jawatan yang ingin anda jawat itu.

Di bawah ni merupakan skrip jawapan yang boleh anda gunakan untuk membalas pertanyaan itu.

Kementerian Kewangan Malaysia adalah kementerian yang bertanggungjawab untuk memastikan kecukupan sumber kewangan bagi kerajaan Malaysia dan memastikan peruntukan sumber kewangan tersebut digunakan secara efektif untuk memajukan ekonomi Malaysia.

Beberapa fungsi utama KKM termasuk menyediakan dasar dan strategi kewangan, menguruskan perbelanjaan kerajaan, mengawal selia kewangan negara, memastikan pematuhan undang-undang kewangan, serta menyediakan sokongan kewangan kepada sektor-sektor penting dalam ekonomi Malaysia.

Kementerian Kewangan Malaysia juga memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi Malaysia dengan menyediakan sumber kewangan untuk pelbagai inisiatif seperti pembangunan infrastruktur, penyediaan perkhidmatan awam, pembangunan sektor swasta, serta memperkuatkan kedudukan kewangan Malaysia dalam pasaran global.

Secara keseluruhan, Kementerian Kewangan Malaysia memainkan peranan yang penting dalam memastikan kestabilan dan pertumbuhan ekonomi Malaysia melalui pengurusan dan pengawalseliaan kewangan negara.

“Awak tahu tak apa tugas awak sebagai pembantu tadbir kewangan?”, tanya panel temuduga.

Untuk menjawab soalan seperti ini, anda perlu jawab soalan ini secara berfakta. Jangan cuba menambah-nambah tugasan pembantu tadbir kewangan ini kerana senarai tugas ini sudah ditetapkan.

Di bawah ini merupakan cadangan jawapan yang boleh anda gunakan untuk menjawab pertanyaan ini.

Sebagai seorang pembantu tadbir kewangan, antara tugas yang perlu saya laksanakan ialah bertanggungjawab ke atas tugas-tugas kewangan sepenuh masa dengan membantu pihak pengurusan/penyelia dalam urusan-urusan seperti berikut:

1. Menyedia dan mengemaskinikan belanjawan tahunan.
2. Mengurus dan mengawal peruntukan.
3. Menyelenggara rekod dan menyediakan laporan perbelanjaan.
4. Mengurus, menyelenggara, memantau semua jenis panjar.
5. Mengurus, merekod dan mengambil tindakan susulan berhubung dengan pendahuluan diri, pendahuluan pelbagai, pinjaman komputer dan pinjaman kenderaan.

Selain itu, soalan di bawah ini juga kerap ditanya pada sesi temuduga sebelum ini.

  • Apa itu sebut harga?
  • Apa itu tender?
  • Apa beza antara tender dengan sebut harga?
  • Apa itu perolehan kerajaan?
  • Apa itu GST?
  • Sebutkan jenis perakaunan di Malaysia.
  • Ceritakan apa yang awak tahu tentang belanjawan 2023?
  • Ceritakan apa yang awak tahu tentang bajet 2023?
  • Apa beza antara pembantu tadbir kewangan dengan pembantu tadbir perkeranian operasi?

Soalan Temuduga Psikologi Pembantu Tadbir (Kewangan) Gred W19

Selain daripada soalan-soalan berkaitan dengan perihal jabatan, panel temuduga juga akan bertanyakan soalan berkaitan dengan psikologi.

“Kami dah ada calon sendiri. Jadi anda jangan buang masa teruskanlah dengan pekerjaan anda sekarang. Apa keistimewaan anda untuk saya ambil anda?”, tanya panel temuduga.

Anda boleh menggunakan skrip jawapan ini untuk membalas pertanyaan dari panel temuduga.

Saya telah membuat permohonan dan saya juga telah dipanggil untuk ditemuduga. Jadi pihak tuan seharusnya menemuduga saya sebelum mengisi jawatan tersebut. Sebagai penemuduga, adalah menjadi tanggungjawab pihak tuan perlu menilai calon-calon yang dipanggil terlebih dahulu.

Saya bukan ingin memandang rendah terhadap calon-calon lain, tetapi saya mempunyai pengalaman dalam berkenaan bidang ini. Saya juga seorang yang bersemangat tinggi, komited terhadap kerja, dan saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai matlamat.

Selain itu, saya juga seorang yang mudah bekerjasama, bertolak ansur, dan mudah mendengar pandangan dari orang lain.

Antara kebolehan yang saya ada yang diperlukan oleh pihak Tuan ialah kebolehan berbahasa Inggeris dengan fasih, mempunyai pengucapan awam yang baik serta boleh bekerja dengan pantas.

Manakala kemahiran pula ialah saya mempunyai kemahiran mengurus, cekap menggunakan komputer juga sebarang perisian, dan juga mahir membuat kertas kerja.

Selain soalan di atas, panel temuduga akan bertanyakan soalan psikologi berkaitan dengan keluarga. Mereka tahu keluarga adalah orang yang paling rapat dengan anda.

Ketika ini, mereka akan menggunakan elemen kasih sayang untuk menguji sejauh mana minat anda dengan jawatan ini.

“Awak anak yang ke berapa?”, tanya panel temuduga.

“Saya anak bongsu”, jawab calon itu.

“Biasanya anak bongsu ni susah ibu bapa nak lepas. Sekiranya awak dihantar berkhidmat di negeri jauh dari keluarga, apa keputusan awak?”, panel temuduga tu cuba bertanya lagi.

Sekiranya saya dilantik untuk jawatan ini, saya akan terima secara terbuka di mana sahaja saya bakal ditempatkan.

Saya sentiasa anggap kerja ini merupakan suatu amanah kepada saya dan saya tiada kekangan untuk melaksanakannya walaupun perlu berjauhan dengan keluarga.

Lagipun, saya sudah biasa berjauhan daripada keluarga terutamanya ketika masih belajar dahulu dan keluarga sentiasa menyokong apa yang lakukan.

Selain itu, soalan di bawah ini juga kerap ditanya pada sesi temuduga sebelum ini.

  • Awak sanggup tak dihantar bertugas ke sabah dan sarawak? (Sekiranya anda temuduga di semenanjung)
  • Awak sanggup tak dihantar bertugas ke semenanjung? (Sekiranya anda temuduga di Sabah & Sarawak)
  • Skop kerja kewangan ni memerlukan awak bersedia mental fizikal, kerja lebih masa & menerima pelbagai tugasan. Awak sanggup?
  • Kenapa awak nak bekerja dalam kerajaan? Gaji kerja kerajaan ini tak setinggi kerja swasta.

Soalan Temuduga Kemahiran Berfikir Pembantu Tadbir Kewangan

Dalam temuduga pembantu tadbir kewangan, soalan berkaitan dengan panjar boleh dikatakan soalan popular ditanya. Selalunya panel temuduga akan bertanyakan dulu tentang pemahaman calon terhadap konsep panjar.

“Apa yang awak faham tentang panjar?”, tanya panel temuduga.

Panjar adalah sebarang wang pendahuluan untuk proses pembayaran . Terdapat empat jenis Panjar iaitu Panjar Gaji, Panjar Seperduabelas, Panjar Unit dan Panjar Wang Runcit.

Panjar ini digunakan hanya bagi tujuan yang ditetapkan dan hendaklah dikeluarkan semata-mata mengikut syarat-syarat kelulusan yang diberi.

Soalan pasal panjar ini tidak terhenti dekat situ sahaja. Jika jawapan calon tu meyakinkan, panel temuduga akan bertanya pula soalan berbentuk situasi berkaitan dengan panjar.

Jika anda tidak faham konsep panjar yang sebenar, memang mudah nak tahu tahap pemahaman anda tentang konsep panjar ini.

“Sekiranya saya daripada Kota Kinabalu dan terbang ke Kuala Lumpur di atas urusan kerja. Tiket penerbangan tu saya dahulukan duit saya dahulu. Adakah itu dikira sebagai panjar?”, tanya panel temuduga lagi.

Berdasarkan kepada situasi yang tuan nyatakan itu, situasi ini tidak dikategorikan sebagai panjar disebabkan tidak memenuhi syarat-syarat kelulusan dalam urusan panjar.

Dalam situasi ini lebih kepada tuntutan sahaja. Saya sebagai pekerja boleh buat tuntutan kepada jabatan di atas wang saya dahulukan itu. Tapi tuntutan ini tidak dikategorikan sebagai panjar.

Selain itu, soalan di bawah ini juga kerap ditanya pada sesi temuduga sebelum ini.

  • Kami nak cari calon bersikap teliti. Bagaimana kami nak tahu awak ni seorang yang teliti?
  • Ketua jabatan menyalahkan awak sebab buat laporan tak betul tapi rupanya kesilapan itu berpunca dari dia kerana tersilap dalam menyemak. Bagaimana awak nak buktikan awak di pihak yang benar?
  • Kalau rekod bil dan jumlah wang tidak tally, apa tindakan awak?

Soalan Integriti Pembantu Tadbir Kewangan

Selain itu, panel temuduga juga suka bertanya soalan berkaitan dengan integriti. “Apa yang awak faham dengan integriti?”, tanya panel temuduga.

Integriti merujuk kepada sifat kejujuran, keikhlasan, dan konsistensi dalam tindakan, perkataan, dan perwatakan seseorang.

Seseorang yang mempunyai integriti biasanya dianggap sebagai seseorang yang boleh dipercayai, mempunyai keyakinan, dan mendapat penghormatan orang lain.

Mereka menunjukkan kejujuran, keadilan dan keikhlasan dalam tindakan mereka, walaupun dalam keadaan sukar atau tekanan.

Selain itu, soalan di bawah ini juga kerap ditanya pada sesi temuduga sebelum ini.

  • Apa yang awak akan lakukan jika ada pegawai atasan terlibat dengan salahlaku integriti?
  • Apa yang awak faham dengan rasuah? Apa beza rasuah dengan hadiah?
  • Apa pandangan awak tentang pemberian hadiah daripada sub kontraktor. Terutamanya apabila tiba musim perayaan, terdapat ramai sub kontraktor nak memberi barangan berbentuk hadiah kepada jabatan. Adakah itu boleh dianggap sebagai rasuah?

Rekomendasi Dari Cikgu

Soalan di atas yang saya kongsikan ini merupakan soalan yang mungkin ditanya dalam sesi temuduga Pembantu Tadbir (Kewangan) Gred W19.

Sekiranya anda inginkan lagi soalan temuduga berserta skrip jawapan lengkap, saya highly recommended kepada anda untuk membaca ebook 300 soalan temuduga dan skrip jawapan ini.

Penutup

Saya harap dengan perkongsian tentang soalan temuduga Pembantu Tadbir (Kewangan) Gred W19 ini dapat membantu anda dalam membuat persediaan temuduga nanti.

Saya doakan anda tenang dan yakin dalam menghadiri sesi temuduga ini nanti. Aamiinn..

Ps.. Anda rasa artikel ini bermanfaat? Jangan lupa untuk bookmark bagi memudahkan anda cari semula nanti.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *