Saya pasti, mesti ramai kan mencari tips lulus ujian psikometrik. Setiap kali ujian akan dijalankan, saya menerima banyak pertanyaan pasal tips lulus ini.
Untuk menjawab persoalan anda itu, saya akan kongsikan tips lulus itu pada artikel ini. Ada beberapa perkara yang boleh menjadi faktor seseorang calon itu lulus ataupun gagal dalam ujian psikometrik.
Ujian ini dijalankan untuk mengambil data personaliti calon. Pihak SPA akan memadankan data yang diperoleh dengan keperluan perwatakan sesuatu jawatan. Jika ada banyak persamaan, seseorang calon itu akan diluluskan. Jika tidak, ianya akan digagalkan.
Sama seperti ujian online kerajaan yang lain, ujian ini juga bertujuan untuk mengecilkan saiz calon. Jika calon yang dipanggil mempunyai 10,000 orang calon, ujian ini akan digunakan sebagai alat untuk menapis kesemua calon menjadi kelompok yang lebih kecil.
Artikel Berkaitan: Maksud Ujian Psikometrik.
Dalam memastikan anda berjaya melepasi tapisan dan berada dalam kelompok yang kecil itu, saya akan kongsikan beberapa tips untuk lulus ujian psikometrik untuk ujian kali ini.
Tips ini saya kumpulkan berdasarkan pemerhatian saya sepanjang ujian ini berlangsung sejak 12 bulan yang lepas. Dengan mengambil kira maklum balas daripada calon yang lulus dan calon yang gagal itu sendiri.
Sepanjang pemerhatian saya, ramai calon boleh membezakan soalan positif dan negatif, tapi mereka tak mampu memilih jawapan secara konsisten. Ada sesetengah calon psikometrik tidak tahu pun apa itu konsisten. Jadi apa itu konsisten sebenarnya?
Konsisten ini berkait rapat dengan pendirian seseorang. Selalunya jawapan calon ini tak konsisten kerana mereka menjawab secara tidak jujur ataupun cuba untuk menipu.
Sebagai contoh, tiga soalan di bawah ini digunakan untuk menguji sejauh mana tahap pendirian seseorang calon. Sama ada pendirian dia tetap ataupun tidak.
Soalan 1. Saya tidak perlu mencari pelbagai kemungkinan untuk menyelesaikan masalah.
Soalan 2. Saya tidak berminat terhadap permasalahan yang memerlukan kajian.
Soalan 3. Saya kerap membaca novel fiksyen berbanding majalah hiburan.
Jika dilihat kepada ketiga-tiga soalan ini, terdapat dua sikap yang cuba dicungkil melalui soalan ini. Tips untuk lulus ujian psikometrik ialah anda kena pastikan pendirian dalam soalan 1, soalan 2 dan soalan 3 sentiasa selari antara satu sama lain.
Kalau pendirian dalam soalan 1, soalan 2 dan soalan 3 tu bercanggah antara satu sama lain pula macam mana? Jika berlakunya percanggahan jawapan, itu cukup memberi signal kepada pihak SPA bahawa wujudnya unsur penipuan ketika seseorang calon itu menjawab soalan.
Dalam psikologi, individu yang menipu ini mudah dikesan kerana mereka tidak mempunyai pendirian yang tetap. Sekejap mereka sokong perkara ini, sekejap mereka sokong perkara itu. Jadi anda perlu tetapkan pendirian anda dengan memastikan jawapan anda sentiasa konsisten antara satu sama lain.
Selain daripada konsisten dalam pemilihan jawapan, tips lulus ujian psikometrik yang seterusnya ialah anda perlu menjadi diri anda sendiri.
Daripada pemerhatian saya, ramai calon ujian psikometrik cuba menjadi orang lain ketika menjawab soalan. Mereka cuba mencipta satu perwatakan yang boleh memperlihatkan mereka ini seorang yang super positif. Mereka tak yakin dengan perwatakan diri mereka sendiri.
Maklum balas daripada calon ujian psikometrik sendiri, ada yang beritahu ujian psikometrik ini mudah, dalam masa 15 minit boleh jawab kesemua soalan. Ada calon beritahu soalan ujian psikometrik ini memeningkan mereka. Seolah-olah soalan ini direka untuk menggagalkan mereka.
Anda akan mudah jawab ujian jika anda jadi diri anda sendiri. Sebab ujian ini hanya bertanyakan pendapat anda tentang diri anda, bukannya tanya pendapat orang lain.
Yang menjadi ujian psikometrik ini memeningkan apabila anda cuba menjadi orang lain. Ketika ini soalan ujian psikometrik akan menjadi susah seolah-olah anda cuba mentafsir perwatakan orang lain.
Contoh soalan yang kerap menjerat calon psikometrik untuk menjadi individu lain seperti soalan di bawah ini.
Soalan 4. Ada masanya saya akan mengumpat.
Soalan 5. Ada masanya saya juga bercakap bohong.
Soalan 6. Sekali-sekala saya menangguhkan kerja hari ini untuk esok.
Jika soalan 4, 5 dan 6 itu dinilai daripada sudut positif atau negatif, soalan itu akan jatuh ke dalam kategori sikap negatif. Tujuan utama soalan ini ditanyakan kepada calon adalah ingin kategorikan calon itu kepada beberapa golongan tertentu.
Soalan 4, 5 dan soalan 6 boleh diumpamakan sebagai, ditelan mati emak, diluah mati bapa bagi kesemua calon psikometrik. Mereka nak jawab secara jujur takut gagal disebabkan memang jelas soalan tu bersifat negatif. Mereka nak menipu pun rasa serba salah disebabkan memang mereka pernah melakukan perbuatan itu.
Sebenarnya ramai calon terperangkap dengan soalan seperti ini. Akibatnya, pendirian mereka dalam setiap soalan saling bercanggahan antara satu sama lain lalu memperlihatkan kecelaruan identiti dalam diri mereka. Tak hairanlah kenapa ramai yang gagal ujian ini.
Apa yang saya perasan, ramai calon yang menduduki ujian psikometrik ini cuba untuk mencuba-cuba nasib mereka. Kalau ada rezeki, dapatlah lulus ujian ini. Bila dapat panggilan ujian, terus buat latih-tubi jawab soalan tanpa mereka ambil tahu pun apa skop tugasan sesuatu jawatan tu.
Apa yang perlu anda lakukan ialah kena pastikan adakah sesuatu jawatan itu sesuai dengan karakter diri anda ataupun tidak. Jawatan anggota penguat kuasa, ada perwatakan mereka sendiri. Jawatan ahli psikologi ada perwatakan mereka sendiri.
Jawatan gred 11 mempunyai perwatakan mereka sendiri, jawatan gred 41 pula ada perwatakan mereka sendiri. Perwatakan yang berbeza ini diperlukan disebabkan oleh skop kerja setiap jawatan berbeza-beza dengan jawatan yang lain.
Soalan di bawah ini merupakan contoh soalan yang digunakan untuk menguji perwatakan bagi jawatan pegawai psikologi.
Soalan 7. Kawan-kawan mengadukan hal-hal peribadi kepada saya.
Soalan di bawah ini pula merupakan soalan untuk menguji perwatakan dalam anggota penguat kuasa.
Soalan 8. Saya akan mempertahankan apa sahaja prinsip yang telah dipersetujui walaupun ada orang yang mengungkit.
Antara salah faham paling ketara calon psikometrik ialah mereka fikir ujian psikometrik ini nak uji kebolehan mereka menilai sikap positif dan sikap negatif.
Yang sebenarnya ujian psikometrik bukan seperti itu. Tujuan ujian psikometrik hanyalah nak dapatkan data personaliti calon sahaja. Tak lebih daripada itu. Jika hendak melihat tahap kepandaian calon, pihak SPA boleh merujuk kepada keputusan SPM mereka.
Tapi pihak SPA tidak ada data dalam mengetahui perwatakan calon. Atas sebab itulah ujian psikometrik ini dijalankan. Ianya bertujuan mendapatkan data-data personaliti diri anda. Sebagai calon anda hanya perlu jujur dalam memberikan data-data itu.
Di bawah ini merupakan soalan yang menguji tahap kejujuran seseorang calon psikometrik ketika menjawab soalan.
Soalan 9. Saya mengajukan soalan dalam majlis dialog yang diadakan.
Ada sesetengah calon tak pernah menjejakkan kaki walaupun sekali dalam hidup mereka ke majlis dialog. Tapi disebabkan mereka ini ingin tonjolkan yang konon-kononnya sikap positif wujud dalam diri mereka, mereka sanggup untuk menipu dengan menyokong soalan 9 ini.
Mereka terlupa, soalan psikometrik ini saling berkaitan antara satu sama lain. Seperti soalan 10 di bawah ini. Ianya digunakan sebagai alat untuk mengesahkan jawapan calon dalam soalan 9.
Artikel Berkaitan: Pengalaman Lulus Ujian Psikometrik
Soalan 10. Kawan-kawan mengadukan hal-hal peribadi kepada saya.
Soalan 9 dan soalan 10 saling berkait antara satu sama lain disebabkan soalan ini mempunyai penilaian yang sama. Jika anda cuba berlaku tidak jujur, itu akan menjerat diri anda sendiri untuk gagal ujian psikometrik ini.
Saya harap dengan perkongsian tips lulus ujian psikometrik ini dapat memberikan manfaat kepada anda dalam persediaan ujian psikometrik ini nanti. Saya ada kongsikan artikel tentang cara licik ujian psikometrik menggagalkan ramai calon. Anda boleh baca dengan klik butang di bawah ini.