Maksud Ujian Psikometrik Dan Apa Tujuan Ujian Ini Dijalankan?

oleh Cikgu Khairul

Maksud Ujian Psikometrik – Saya pasti anda bakal menduduki ujian psikometrik bukan? Jadi apa maksud sebenar ujian psikometrik ini? Dalam artikel ini saya akan kongsikan kepada anda maksud ujian ini dan apakah tujuan ujian ini dijalankan.

Mengumpul Data Personaliti

Secara bahasa mudah, ujian psikometrik ini merupakan ujian yang berfungsi untuk mengumpul data-data personaliti seseorang individu. Apakah minat individu itu? Bagaimana individu itu berfikir dan bagaimana individu itu bertindak.

Daripada data-data personaliti yang dikumpul itu, data-data itu boleh mencorakkan perwatakan seseorang. Jadi apakah kepentingan corak perwatakan ini? Ianya bakal menentukan kesesuaian ataupun keserasian seseorang individu itu dengan tugasan yang bakal mereka lakukan.

Ujian Psikometrik Dalam Pekerjaan

Dalam pengambilan pekerja juga menggunakan ujian psikometrik sebagai syarat utama pengambilan. Dalam kes pengambilan pekerja, ujian psikometrik boleh mencari calon yang mempunyai perwatakan yang betul-betul tepat dengan skop kerja jawatan.

Jika mahu menilai kepandaian seseorang calon, majikan hanya perlu merujuk kepada sijil SPM calon sahaja. Tapi bagaimana majikan nak tentukan adakah perwatakan calon itu menepati dengan jawatan ataupun tidak? Sebab tak ada sijil yang boleh membuktikan perkara itu.

Kalau anda nak tahu, begitulah tujuan utama ujian psikometrik ini dijalankan. Ianya bertujuan dalam menentukan adakah perwatakan seseorang calon itu menepati kehendakan perwatakan jawatan ataupun tidak.

Contoh Soalan Psikometrik

Jika sesuatu jawatan itu memerlukan seorang calon yang berperwatakan teliti, ujian psikometrik boleh menapis calon-calon yang mempunyai sikap teliti dalam diri. Contohnya seperti soalan di bawah ini.

Soalan 1: Saya suka mengambil risiko bagi memastikan setiap tugasan lebih mencabar.

  • Setuju
  • Tidak Setuju

Soalan 2: Saya suka berwaspada dalam semua keadaaan.

  • Setuju
  • Tidak Setuju

Soalan 3: Konsep “kalah membeli menang memakai” merupakan amalan pengguna yang bijak.

  • Setuju
  • Tidak Setuju

Soalan 4: Saya tidak mengambil tahu tempoh tamat sesuatu barang yang dibeli sekiranya saya hendak cepat.

  • Setuju
  • Tidak Setuju

Soalan 5: Walaupun meja kerja saya berselerak tetapi saya tahu di mana saya meletakkan barang saya.

  • Setuju
  • Tidak Setuju

Ada Banyak Lagi

Tapi anda jangan salah faham tentang contoh yang saya kongsikan ini. Ujian psikometrik bukanlah bertujuan mencari individu berperwatakan teliti semata-mata. Ada banyak lagi sikap yang cuba dicungkil melalui ujian ini, contohnya seperti:

  • Cara bersosial
  • Kerjasama
  • Kestabilan emosi
  • Tahap disiplin diri
  • Menepati masa
  • Bertanggungjawab
  • Kejujuran, amanah & ketekunan
  • Berdedikasi

Penutup

Saya harap dengan perkongsian maksud ujian psikometrik ini dapat memberikan kefahaman kepada anda terhadap apa itu ujian psikometrik yang sebenar. Saya juga mendoakan agar anda lulus pada ujian psikometrik yang bakal anda duduki nanti. Aamiinn..

Artikel Berkaitan: Empat Kategori Soalan Ujian Psikometrik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *