Soalan Temuduga Penolong Pegawai Tadbir N29

oleh Cikgu Khairul

Soalan Temuduga Penolong Pegawai Tadbir – Adakah anda mencari contoh soalan temuduga penolong pegawai tadbir? Jika ya, ini merupakan artikel yang tepat untuk anda.

Sebelum itu, suka saya perkenalkan diri dahulu. Saya Cikgu Khairul, berpengalaman dalam membantu calon temuduga mendapatkan pekerjaan idaman mereka semenjak 2009 lagi.

Pertama sekali, tahniah saya ucapkan kerana anda berjaya lulus ujian psikometrik dan mendapat panggilan temuduga ini.

4 Topik Soalan Temuduga Penolong Pegawai Tadbir

Jadi, soalan apakah yang selalu panel temuduga bertanya kepada calon temuduga penolong pegawai tadbir ni?

Secara asasnya, terdapat empat topik utama akan ditanya oleh panel temuduga dalam sesi temuduga penolong pegawai tadbir, iaitu:

  • Soalan tentang diri anda.
  • Soalan berkaitan jawatan.
  • Soalan berkaitan kementerian dan jabatan.
  • Soalan kemahiran berfikir.
topik pertama temuduga penolong pegawai tadbir

Soalan Tentang Diri Anda

Dalam setiap sesi temuduga, soalan yang paling kerap panel temuduga tanyakan ialah soalan memperkenalkan diri. 

Soalan ini bukanlah bermaksud panel temuduga ingin tahu tentang diri anda sangat, tapi lebih kepada hendak melihat cara anda bercakap.

Daripada cakap anda bercakap ini pun panel temuduga dah boleh tahu tahu tahap keyakinan anda berdepan dengan orang lain.

“Sila perkenalkan diri awak”, minta panel temuduga.

Di bawah ini merupakan skrip jawapan yang boleh anda gunakan untuk menjawab soalan ini.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Nama saya Izzat bin Ismail berasal dari Kuantan, Pahang. Saya menerima pendidikan awal di SMK Seri Pekan dan melanjutkan pendidikan ke peringkat ijazah sarjana muda dalam jurusan perakaunan di UITM .

Di samping kecemerlangan akademik, saya juga aktif dalam pelbagai aktiviti kokurikulum di universiti. Saya pernah memegang jawatan bendahari dalam persatuan pelajar, di mana saya bertanggungjawab untuk menguruskan belanjawan dan memastikan perbelanjaan direkodkan dengan betul. Pengalaman ini telah mengajar saya kepentingan akauntabiliti dan pengurusan kewangan yang teliti.

Saya memiliki minat yang mendalam dalam bidang pengurusan belanjawan dan kewangan, kerana ia memainkan peranan penting dalam kejayaan sesebuah organisasi. Saya sentiasa mengikuti perkembangan terkini dalam bidang ini dan bersedia untuk mempelajari dan menyesuaikan diri dengan amalan baharu.

Dengan sikap berdisiplin dan amanah yang saya miliki, serta pengetahuan dan pengalaman dalam pengurusan belanjawan dan kewangan, saya yakin dapat melaksanakan tanggungjawab dengan baik dalam jawatan ini dan menyumbang kepada jabatan ini.

Tip menjawab: Fokus jawapan yang menjurus ke arah tugas penolong pegawai tadbir. Disebabkan skop tugas penolong pegawai tadbir selalu terlibat dengan pengurusan belanjawan dan kewangan, anda boleh tonjolkan minat terhadap pengurusan kewangan.

Selepas panel dengar jawapan perkenalkan diri, mereka suka bertanya tentang perkembangan semasa tentang diri anda.

“Apakah kerja sementara yang awak lakukan sebelum ini?”, tanya panel temuduga.

Selepas menamatkan pengajian di universiti, saya berkesempatan bekerja sebagai juruwang di kedai makan milik pakcik saya. Semasa berkerja di sana, saya bukan sahaja dapat mengasah kemahiran berkomunikasi dengan pelbagai jenis pelanggan, tetapi juga mendapat pendedahan awal kepada aspek pengurusan kewangan.

Sebagai juruwang, saya bertanggungjawab untuk mengendalikan transaksi tunai, menyediakan laporan jualan harian, dan memastikan baki tunai adalah tepat. 

Saya juga terlibat dalam penyediaan belanjawan bulanan untuk kedai makan itu, di mana saya perlu menganalisis corak perbelanjaan dan mencadangkan cara untuk mengoptimumkan sumber kewangan. 

Pengalaman ini telah memberi saya pemahaman asas tentang pengurusan belanjawan dan kewangan dalam konteks perniagaan kecil.

Tip menjawab: Cuba kaitkan pengalaman kerja yang lepas sebagai satu kelebihan yang sesuai dengan tugas penolong pegawai tadbir. Ceritakan kepada panel temuduga bagaimana pengalaman kerja anda itu cukup sesuai dengan jawatan ini.

Selain itu, antara soalan-soalan berkaitan dengan diri sendiri kerap ditanya ialah:

  • Sebab apa awak mahukan jawatan ini? Ada yang tidak kena dengan tempat kerja awak sekarang?
  •  Kenapa awak nak bekerja di sektor kerajaan?
topik kedua temuduga penolong pegawai tadbir

Soalan Berkaitan Jawatan.

Berdasarkan kepada pengalaman calon sebelum ini, panel temuduga bertanya kepadanya kenapa dia berminat dengan jawatan ini.

“Boleh saya tahu kenapa awak berminat dengan jawatan penolong pegawai tadbir ni?”, tanya panel temuduga.

Saya berminat dengan jawatan penolong pegawai tadbir ini kerana ia melibatkan pengurusan kewangan dan belanjawan, iaitu bidang yang saya minati dan ingin menceburi secara profesional.

Semasa pengajian saya dalam jurusan perakaunan, saya telah mempelajari prinsip dan teknik pengurusan kewangan. Saya juga telah menjalankan beberapa projek yang melibatkan analisis kewangan dan penyediaan belanjawan, yang mengukuhkan pemahaman saya tentang bagaimana pengurusan kewangan yang cekap dapat membantu kejayaan sesebuah organisasi.

Selain itu, pengalaman saya bekerja sebagai juruwang di kedai makan juga telah memberi saya pendedahan praktikal dalam menguruskan transaksi kewangan harian. Ini telah meningkatkan lagi minat saya dalam bidang pengurusan kewangan.

Saya juga tertarik dengan peluang untuk mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran saya dalam persekitaran profesional. Saya percaya jawatan penolong pegawai tadbir ini akan membolehkan saya berbuat demikian sambil menyumbang kepada pengurusan jabatan ini.

Tapi pertanyaan ini tidak terhenti di situ sahaja. Sebab setiap orang boleh claim apa-apa sahaja yang mereka suka. Katanya minat, tapi belum tentu minat tu betul-betul wujud.

Apabila panel temuduga berpuas hati dengan jawapan anda ini, panel akan bertanya pula tentang skop tugas jawatan.

Pastikan anda tahu skop tugas kerana itu akan menjadi bukti sejauh mana minat anda terhadap jawatan penolong pegawai tadbir itu.

“Sebagai seorang penolong pegawai tadbir, apa tugas awak?”, tanya panel temuduga.

Sebagai seorang penolong pegawai tadbir, tugas secara keseluruhan ialah bertanggungjawab untuk menjalankan pelbagai tugas yang berkaitan dengan pengurusan pentadbiran pejabat.

Secara perincian pula, saya bertanggungjawab dalam penyediaan belanjawan, pemantauan perbelanjaan, dan penyediaan laporan kewangan. Ini memastikan sumber kewangan jabatan digunakan secara optimum dan selaras dengan bajet yang ditetapkan.

Saya juga akan terlibat dalam menguruskan proses perolehan bekalan dan peralatan pejabat, termasuk memilih vendor, merundingkan harga, dan memastikan bekalan diterima tepat pada waktunya. 

Selain itu, saya juga bertanggungjawab mengendalikan tugas-tugas pentadbiran berkaitan sumber manusia, seperti menguruskan rekod peribadi kakitangan, memantau kehadiran dan cuti, serta menyelaraskan program latihan kakitangan.

Saya juga perlu memastikan operasi pejabat berjalan lancar dengan menyelaraskan penyelenggaraan peralatan pejabat, menguruskan inventori bekalan, dan mengekalkan persekitaran kerja yang kemas dan selamat.

Akhir sekali, saya bertanggungjawab membantu dalam perancangan dan penyelarasan majlis rasmi, seperti mesyuarat, seminar, dan acara korporat. Ini termasuk membuat persiapan logistik, menguruskan jemputan, dan memastikan majlis berjalan lancar.

Kebanyakan calon akan gagal dalam temuduga penolong pegawai tadbir ini disebabkan mereka tak tahu apakah skop tugasan mereka akan lakukan nanti.

Minat memang penting, tapi minat sahaja tidak cukup untuk mengukur kesungguhan seseorang itu. Jika skop tugas pun tak tahu, cukup membuktikan tiada kesungguhan dalam diri mereka. Minat mereka hanya dimulut, tapi tidak dihati.

Selain itu, antara soalan-soalan yang kerap ditanya semasa sesi temuduga ialah:

  • Apa yang awak faham dengan tugas jawatan penolong pegawai tadbir ni?
  • Apakah ciri-ciri yang ada pada awak sehinggakan awak rasa layak untuk jawatan ini?
  • Apakah yang awak boleh sumbangkan sekiranya dilantik?
  • Kenapa awak memohon jawatan penolong pegawai tadbir? Sedangkan kelayakan awak lebih sesuai untuk jawatan gred 41?
  • Awak tahu tak jawatan ini lantikan secara kontrak. Awak tak risau ke bila dah tamat kontrak nanti?
  • Jika awak perlu dihantar bertugas di luar negeri awak sekarang, awak sanggup tak?

Soalan Berkaitan Kementerian Dan Jabatan.

Selain daripada soalan-soalan berkaitan dengan jawatan, panel temuduga juga akan bertanyakan soalan berkaitan dengan pengetahuan kementerian dan jabatan.

Sebagai persediaan, saya syorkan anda untuk kaji dasar-dasar yang dikeluarkan oleh JPA, misi dan visi JPA.

Antara soalan yang popular ditanya berkaitan dengan topik ini ialah, “Apakah visi dan misi Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia?”, tanya panel temuduga.

Visi Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia adalah untuk mewujudkan sebuah Perkhidmatan Awam yang berprestasi tinggi, berintegriti, dinamik dan berjiwa rakyat. Manakala misi JPA pula adalah untuk memacu dan meneraju pembangunan sumber manusia perkhidmatan awam. 

Saya pasti mesti ramai calon hanya menghafal sahaja visi dan misi jabatan. Tapi anda perlu berhati-hati, sebab panel akan bertanya soalan lebih mendalam berkaitan dengan visi dan misi itu.

“Jadi apa awak faham dengan visi dan misi tu?”, tanya panel temuduga.

Berdasarkan pemahaman saya, visi JPA adalah untuk mewujudkan sebuah perkhidmatan awam yang berprestasi tinggi, berintegriti, dinamik, dan berjiwa rakyat. Ini bermaksud JPA komited untuk membentuk satu pasukan penjawat awam yang cekap, jujur, responsif terhadap perubahan, dan sentiasa mengutamakan kepentingan serta kebajikan rakyat dalam pelaksanaan tugas mereka.

Bagi mencapai visi ini, misi JPA adalah untuk memacu dan meneraju pembangunan sumber manusia perkhidmatan awam. Ini bermaksud JPA memainkan peranan penting dalam membangunkan modal insan yang berkualiti dalam perkhidmatan awam melalui pelbagai inisiatif dan program pembangunan.

Dengan memacu dan meneraju pembangunan sumber manusia, JPA berusaha untuk melengkapkan penjawat awam dengan pengetahuan, kemahiran, dan kompetensi yang diperlukan untuk melaksanakan tugas dengan cemerlang. Ini akan memastikan perkhidmatan awam mempunyai tenaga kerja yang berkebolehan tinggi dan bersedia untuk menghadapi cabaran masa hadapan.

Selain daripada bertanyakan soalan berkaitan visi dan misi, panel juga suka bertanyakan tentang sejarah bagaimana tertubuhnya JPA.

“Boleh awak ceritakan sedikit sejarah penubuhan JPA?”, tanya panel temuduga.

Sebagai calon temuduga, anda wajib tahu tentang sejarah penubuhan JPA, bermula daripada Ogos 1934 sehinggalah tertubuhnya JPA pada hari ini. 

Jabatan Perkhidmatan Awam atau JPA Malaysia diasaskan pada 22 Ogos 1934 melalui penubuhan Malayan Establishment Office di Singapura semasa zaman pemerintahan British. Jabatan ini kemudiannya berpindah ke Kuala Lumpur apabila pentadbiran berpindah ke Tanah Melayu pada tahun 1954.

Seiring dengan perkembangan fungsi dan pertambahan saiz, JPA telah beberapa kali berpindah lokasi di sekitar Kuala Lumpur sebelum akhirnya mempunyai kompleks sendiri di Jalan Tun Ismail pada tahun 1993. Cawangan di Sabah dan Sarawak juga dibuka untuk mendekatkan perkhidmatan kepada pelanggan di Malaysia Timur.

Pada April 2001, JPA telah berpindah ke Kompleks C, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya. Beberapa bahagian lain kemudiannya ditempatkan di lokasi sekitar Lembah Klang.

Sepanjang penubuhannya, JPA terus memainkan peranan penting dalam pembangunan modal insan bagi perkhidmatan awam di Malaysia.

Selain itu, antara soalan lain yang selalunya panel temuduga tanya ialah:

  • JPA di bawah kementerian apa?
  • Selain JPA, apa lagi jabatan atau agensi di bawah kementerian itu?
  • Apakah peranan JPA yang awak tahu?
  • Ada berapa bahagian dalam JPA yang awak tahu?
  • Awak tahu apa itu kod etika JPA? Apakah kepentingan kod etika ini dalam pentadbiran JPA?

Soalan Kemahiran Berfikir.

Antara topik ‘hot’ dalam temuduga penolong pegawai tadbir ialah soalan berkaitan kemahiran berfikir. Soalan ini ditanya bertujuan untuk menguji kemampuan calon mengambil keputusan, kemampuan menyelesaikan masalah, dan menguji tahap kreativiti dalam diri calon.

“Apa pendekatan awak dalam menyelesaikan konflik di tempat kerja?”, tanya panel temuduga.

Pendekatan saya dalam menyelesaikan konflik di tempat kerja bermula dengan memahami punca konflik tersebut. Saya akan mendengar perspektif semua pihak yang terlibat untuk mendapatkan gambaran sepenuhnya tentang situasi itu. 

Seterusnya, saya akan berkomunikasi dengan hormat untuk menggalakkan dialog terbuka antara pihak-pihak berkenaan. Semasa menilai konflik, saya akan kekal neutral, dengan memberi tumpuan kepada fakta berbanding emosi. 

Saya juga akan berusaha untuk mencari titik persamaan atau kepentingan bersama yang boleh menjadi asas untuk penyelesaian. Kemudian, saya akan mengemukakan penyelesaian yang praktikal dengan mengambil kira keperluan dan kekangan semua pihak. 

Setelah mencapai kata sepakat, saya akan mendapatkan persetujuan daripada semua pihak untuk melaksanakannya. 

Akhir sekali, saya akan terus memantau dan menilai keberkesanan penyelesaian tersebut, dan bersedia untuk menyesuaikan pendekatan sekiranya perlu.

Untuk makluman anda, tugas seorang penolong pegawai tadbir ini amat berisiko dengan gejala rasuah. Berdasarkan kepada pengalaman calon temuduga sebelum ini, panel bertanyakan tentang isu rasuah kepadanya.

“Apa yang awak faham dengan rasuah? Apa beza rasuah dengan hadiah”, tanya panel temuduga.

Dalam pemahaman saya, hadiah adalah segala jenis bentuk pemberian tanpa mengharapkan balasan daripada pemberi hadiah. Hadiah boleh jadi dalam bentuk wang, kenderaan, komisen, cenderamata.

Sekiranya pemberi hadiah mengharapkan balasan di atas pemberian hadiah, ketika ini segala pemberian ini dikategorikan sebagai suapan.

Panel temuduga suka bertanyakan soalan menggunakan situasi. Mereka nak tahu adakah anda betul-betul faham apa yang dinamakan dengan rasuah ataupun tidak.

“Bayangkan awak berada dalam suatu majlis, penganjur cuba memberi hadiah kepada awak di hadapan hadirin. Adakah awak akan terima hadiah tersebut? Jelaskan kenapa”, tanya panel temuduga.

Untuk pengetahuan anda, soalan berkaitan rasuah ini boleh dikategorikan soalan kemahiran berfikir. Jika anda bijak dalam menghubung kaitkan nilai integriti dan fakta, ianya mudah untuk anda jawab soalan seperti ini.

Selain itu, antara soalan lain yang selalunya panel temuduga tanya ialah:

  • Bagaimana cara awak menangani situasi di mana awak diberi arahan yang bertentangan dengan pendirian awak sendiri?
  • Bagaimana awak mengendalikan situasi tekanan yang tinggi dalam tempoh kerja yang sibuk?
  • Bagaimana awak berhadapan dengan pekerja bawahan yang tak ikut cakap awak?
  • Apakah pendapat awak tentang audit? Adakah untuk mencari kesalahan sahaja?

Anda berminat nak dapat soalan dan skrip jawapan? Sila isikan nama dan emel anda di bawah, nanti saya hantar ke emel anda.

100 Soalan TemudugaPenolong Pegawai Tadbir + Skrip Jawapan.

Sekiranya anda inginkan lagi soalan temuduga penolong pegawai tadbir berserta skrip jawapan lengkap, saya highly recommended kepada anda untuk membaca koleksi 100 soalan temuduga penolong pegawai tadbir ini.

temuduga penolong pegawai tadbir n29

Sila klik butang di bawah untuk download ebook.

Kesemua soalan yang saya kongsikan di atas ini ada di dalam ebook ini. Setiap soalan lengkap dengan skrip jawapan. 

Akhir Kalam.

Saya harap dengan perkongsian tentang soalan temuduga penolong pegawai tadbir ini dapat membantu anda dalam membuat persediaan temuduga nanti.

Saya doakan anda tenang dan yakin dalam menghadiri sesi temuduga ini nanti. Aamiinn..

Ps.. Anda ada pertanyaan tentang soalan temuduga penolong pegawai tadbir? Sila tinggalkan soalan di bawah ini. Dengan sepantas kilat saya akan menjawab pertanyaan itu.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *